MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

JANGAN GERHANAKAN PERJUANGAN INI !

Nampaknya sudah beberapa hari Laman Reformasi dan beberapa laman yang lain menjadi ‘gelap’ gulita seolah-olah bumi kehilangan cahaya mentari dan pendokong-pendokong perjuangan ini seperti anak ayam kehilangan ibu dalam mencari dan mendapatkan sumber maklumat dan berita. Bangkitnya Webmaster Mahazalim dari ‘kuburnya’ seolah-olah memberikan suatu momentum drastik daripada kelenaan kita selama ini dalam meneruskan kesinambungan perjuangan ini.

Memang saya mengalu-alukan kemunculan semula webmaster “exmahazalim” yang mana pukulannya di awal-awal ledakan reformasi dahulu amat berbisa. Sebagai pendokong Reformasi yang komited, saya merupakan antara mereka yang terawal  dalam perjuangan ini. Kemunculan semula ‘exmahazalim’ dirasakan akan membawa hala tuju baru dalam perjuangan ini. Mulanya saya ingatkan beliau sudah benar-benar meninggal dunia, rupanya masih ada, untuk menjadi ‘Tuah’ baru yang kembali untuk menghapuskan “Jebat Durhaka”.

Penangan pertama beliau selepas kebangkitan semula ini ialah meminta dua orang pemimpin kanan Keadilan meletakkan jawatan. Saya sebenarnya agak kabur dengan permasalahan yang dibangkitkan. Namun sebagai orang perjuangan dan pengamat politik tanahair yang peka, saya dapat merasakan bahawa Keadilan kini semakin menuju hala tuju yang samar-samar dalam perjuangannya. Saya tidak mahu menyalahkan Kak Wan. 

Namun saya berpendapat sekiranya benar yang menjadi puncanya ialah Dr Chandra dan Sdr Anuar Tahir, seperti yang didakwa oleh Sdr Exmahazalim, saya memintalah supaya kedua-dua pemimpin tersebut mengundurkan diri. Perjuangan ini bukanlah untuk kepentingan diri seperti UMNo, tetapi ini adalah perjuangan yang lahir dari hati nurani rakyat, yang lahir dari lubuk jiwa rakyat, yang lahir dari darah dan air mata rakyat, yang lahir dari perit getir rakyat, yang lahir dari hiba dan sengsara rakyat, yang lahir dari doa dan harapan rakyat. Saya harap tidak ada unsur  mahu mencari populariti diri dengan berlapikkan gelaran dan jawatan dalam parti.

Saya amat kesal dengan kenyataan ‘angkuh’ Sdr Anuar seperti yang disiarkan oleh malaysiakini semalam, yang menolak desakan ‘orang luar’ yang memintanya meletakkan jawatan. Siapa orang luar itu wahai Sdr Anuar ? Adakah  Sdr Exmahazalim yang selama ini telah mengendalikan dengan begitu berkesan Laman Perjuangan kita ini Sdr anggap sebagai orang luar ? Adakah mereka yang tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti Sdr anggap sebagai orang luar ? Tanpa mereka ini di manakah perjuangan kita selama ini ? Adakah apabila suara yang datang itu bukan dari pemegang-pemegang jawatan dalam parti maka saudara memandang leceh permintaan mereka ? 

Tentu ada sebab yang kuat untuk orang-orang bawah ini mendesak supaya Sdr meletak jawatan. Jika Sdr rasakan ahli-ahli sudah tidak menghendaki lagi kepimpinan Sdr,  atas sebab-sebab kepentingan perjuangan, relakanlah melepaskannya. Kita tidak seperti UMNo, yang mana sampai dah nak tinggal ‘tengkorak’ pun masih mahu memegang jawatan.  Saya harap Dr Chandra dan Sdr Anuar Tahir dapat berjiwa besar dan menjadi orang yang terpuji. Jangan jadikan perjuangan ini sama seperti perjuangan UMNo yang mementingkan tembolok sendiri itu. Jika para pendokong sudah merasakan sesuatu yang tidak kena dengan saudara berdua, maka lepaskanlah jawatan tersebut dengan rela hati. Biarkan orang lain yang lebih sesuai menerajuinya.

Kepada Sdr Exmahazalim pula, saya harap saudara dapat bertindak rasional dengan tidak terus ‘menutup’ Laman Reformasi yang menjadi urat jantung perjuangan kita itu. Sekalipun Sdr memprotes kedua-dua pemimpin tadi, seelok-eloknya sdr membuka semula laman tersebut dan biarkan orang-orang kita meluahkan pandangan dan pendapat mereka secara terbuka. Kalau benar pun nak “bertafakkur” tak usahlah lama-lama sangat, kan merugikan perjuangan ? Jangan pula perkara yang kecil akan bertambah besar dan menjadi suatu krisis yang merugikan perjuangan ini. Saya rasa tindakan ‘menutup’ LR itu bukanlah suatu langkah yang praktikal, lebih-lebih lagi menjelang pilihanraya Teluk Kemang tak lama lagi.

Saya amat berharap agar kedua-dua pihak, Dr Chandra, Sdr Anuar Tahir dan exmahazalim dapat berfikir dengan jernih dan bijaksana. JANGAN SEKALI-KALI MENGGERHANAKAN PERJUANGAN INI dengan tindak tanduk kita yang merugikan kerana harapan dan doa rakyat terlalu tinggi. Dan kepada Dr Chandra serta Sdr Anuar Tahir, jika kepimpinan sdr sudah mula dipertikaikan oleh para penyokong, berbesar hatilah untuk mengundurkan diri. Jangan jadikan parti Keadilan seperti UMNo kerana perjuangan kita tidak sama dengan mereka. Perjuangan kita adalah hasil dari perit pedih dan derita rakyat. Anwar hanyalah pencetusnya dan dialah obor kita. Kita amat memerlukan pemimpin-pemimpin yang berjiwa besar seperti Anwar. Kita tidak mahu  ada di antara kita yang mementingkan diri dan dapat dilemahkan oleh tipu daya musuh sehingga arah perjuangan menjadi kabur dan samar.

Yang Ikhlas,

CUCU DATUK BAHAMAN

 counter.bloke.com